
PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan melaksanakan pemantauan ketat berhubung isu penjaja di luar sekolah bagi menjamin keselamatan murid.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, JPN dan pihak sekolah juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan agar penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah tidak berlaku.
Azman berkata, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memberi kesedaran kepada murid dan ibu bapa berkaitan membeli makanan di tempat yang betul.
Katanya, kesedaran itu penting supaya insiden kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy tidak berulang.
“KP melihat ini (insiden) sebagai keutamaan agar perkara sedemikian tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, kantin sekolah di bawah seliaan KPM tidak menjual makanan seperti gula-gula gummy, malah gula-gula itu tidak boleh dijual seperti yang diwartakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Malam tadi, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia kira-kira 11 malam di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas didakwa tercekik gula-gula gummy pada Selasa lepas.
Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.
Sementara itu, Azman berkata, KPM setakat ini tidak menerima maklumat daripada KKM berhubung keperluan pencegahan susulan wabak kusta di Negeri Sembilan.
Tambahnya, isu berkaitan wabak penyakit berjangkit dipandang serius dan sentiasa bersedia bersama KKM dalam aspek pencegahan sekiranya perlu.