
KUALA LUMPUR: Keputusan untuk memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang adalah berdasarkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Johari berkata, pembangkang disaran berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri berhubung isu penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen daripada blok berkenaan.
“Kita (Dewan Rakyat) tiada kuasa berkaitan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM)…itu bukan kuasa kita, itu hak PM (Perdana Menteri).
“Seperti PM dahulu di zaman (Datuk Seri) Ismail Sabri, selepas lakukan beberapa rundingan pihak pembangkang juga dapat (peruntukan), maka buatlah rundingan dengan PM dan beritahu apa yang anda mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu itu pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini hari ini.
Johari berkata, terdapat dua jenis peruntukan boleh diberikan kepada pihak pembangkang iaitu peruntukan untuk pembangunan dan peruntukan kepada wakil rakyat.
“Berikan saya contoh negeri pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang tidak diberikan peruntukan pembangunan seperti untuk jalan, tambatan banjir, klinik dan sekolah…. tidak ada.
“(Ini kerana) peruntukan dalam soal pembangunan dibuat oleh pegawai kerajaan, mereka tidak pandang sama ada ini kerajaan pembangkang atau bukan,” katanya.
Tambah beliau, yang menjadi masalah adalah apabila wakil rakyat pembangkang tidak datang berjumpa Perdana Menteri memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Itu yang PM kata datang (berjumpanya) dan runding apa perkara yang anda mahu, anda hendak apa sebenarnya tetapi tidak datang (berjumpa PM),” katanya.