
KUALA LUMPUR: Insiden kematian empat remaja di konsert ambang tahun baharu Pinkfish 2024 membuktikan kelemahan penganjur berhubung aspek keselamatan sehingga menyebabkan bahan terlarang diseludup masuk ke dalam kawasan acara.
Rata-rata orang ramai kecewa dengan tindakan pihak penganjur konsert yang gagal memikul tanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengunjung.
Seorang pekerja swasta, Mohd Fazley Abdul Aziz, 36, berpendapat, pemeriksaan ketat dan kawalan keselamatan rapi boleh membantu membanteras kegiatan pengedaran dadah di acara hiburan berskala besar.
“Bagi meningkatkan keselamatan, ujian urin secara rawak ke atas pengunjung yang disyaki bawah pengaruh dadah boleh dijalankan.
“Berhibur itu tidak salah tapi janganlah sampai mengambil bahan terlarang yang akhirnya menyusahkan ahli keluarga mereka sendiri,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu media melaporkan, laporan patologi mengesahkan punca kematian membabitkan tiga pengunjung di konsert Pinkfish Countdown 2024 berpunca daripada pengambilan dadah jenis perangsang.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, bagaimanapun punca kematian seorang lagi mangsa tidak dapat disahkan buat masa ini berikutan masih menunggu laporan patalogi dari pihak hospital.
Peniaga, Muhammad Al-Amin Mazlan, 35, pula berkata, pengunjung konsert perlu lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan diri.
“Peristiwa di konsert tersebut boleh dijadikan iktibar kepada semua pihak khususnya golongan muda agar tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah yang akhirnya membawa padah,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) telah menetapkan garis panduan ketat bagi penganjuran acara, termasuk larangan keras terhadap dadah dan minuman keras.