
IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid akan menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, Selasa ini.
Mohammad Zahir berkata, makluman secara rasmi kepada SPR itu dibuat mengikut proses Undang-undang Tubuh negeri serta Perlembagaan negara bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan.
“Kita tunggu minggu depan, paling awal mungkin Selasa ini dan pada masa itu saya akan jemput media sekali sempena penyiaran notis itu.
“Insya Allah minggu depan kita akan maklumkan kepada SPR seperti mana dahulu pernah jadi di DUN Slim,” katanya ketika ditemui media di pekarangan kediaman Allahyarham Ishsam di Desa Seri Ampang, di sini, hari ini.
Turut berada di situ Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak berkata, pemergian Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah bermakna satu PRK akan diadakan memandangkan tempoh perkhidmatan Ishsam sebagai ADUN tidak cukup tiga tahun.
Saarani berkata, sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak akan meminta jentera UMNO serta BN di Tapah bersiap sedia lebih awal.
“Saya juga maklumkan kepada seluruh ahli UMNO Tapah supaya kita reda dengan ketentuan Allah SWT ini dan dengan pemergian Allahyarham bermakna satu PRK akan dilakukan, sebab dia dalam tempoh tidak cukup tiga tahun.
“Kalau SPR bermesyuarat dan putuskan bila dalam tempoh 60 hari ini kena adakan PRK, maka kepada rakan saya ahli UMNO dan penyokong BN di Tapah saya minta mereka kena bersiap sedia lebih awal kerana kita tak dapat elak hadapi PRK,” katanya.
Terdahulu, jenazah Ishsam yang disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, tiba di kediamannya di sini jam 12.30 tengah malam tadi selepas dibawa pulang dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira 10.40 malam tadi.
Ishsam, 59, yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Penolong Pengurus skuad senior Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dilapor meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, di Georgetown petang semalam.