
KLUANG: Perjalanan seorang ibu menghantar barang keperluan anak lelaki berusia setahun yang dirawat dalam wad Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, berakhir tragedi apabila maut dalam nahas membabitkan empat motosikal dan sebuah kereta tengah malam tadi.
Nahas yang berlaku di Jalan Kota Tinggi berdekatan HEBHK itu, menyebabkan dua penunggang motosikal maut di lokasi.
Wanita yang maut itu adalah isteri anggota tentera yang pulang ke rumah di Kem Tentera Batu 4 bagi mengambil keperluan anak lelakinya berusia setahun yang ditahan di wad kerana melecur akibat terkena air panas.
Suami mangsa mahu dikenali sebagai Al Fatah, berkata sebelum kejadian dia dan isteri, Nur Azreen Najwa Roslan, 25, serta anak bongsu mereka menaiki kereta milik rakannya yang menghantar mereka ke HEBHK pada pukul 12 tengah malam.
“Pada mulanya saya ingin membawa anak pulang tetapi doktor memaklumkan anak memerlukan rawatan lanjut dan perlu ditahan dalam wad.
“Isteri kemudian meminta rakan mengambilnya dengan motosikal untuk pulang ke rumah kami di kuarters di Kem Batu 4 bagi mengambil keperluan anak.
“Isteri saya kemudiannya menunggang motosikal bersendirian kembali HEBHK. Ketika menelefonnya pada pukul 1.30 pagi, saya terkejut kerana panggilan itu disambut pegawai polis yang memaklumkan isteri saya meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Batu Kurau Perak untuk dikebumikan.