
PUTRAJAYA: Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lalu, dijangka memberi pulangan positif dari segi dividen kepada pencarumnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
“Kalau kita tengok prestasinya sehingga suku ketiga tahun lepas, ia (prestasi) menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) dah dapat RM57.5 bilion (pendapatan pelaburan). Lebih baik daripada tahun sebelumnya.
“Oleh itu, insya Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan. Namun, saya tak boleh komen apa dividennya. Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.
KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada 2023 iaitu 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding 5.35 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah, 5.40 peratus direkodkan berbanding 4.75 peratus pada 2022 dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.
KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen 2024 pada awal Mac ini.
Terdahulu, beberapa pakar ekonomi dan akademik menjangkakan dividen KWSP bagi tahun 2024 melebihi enam peratus.