
SEPANG: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pembinaan 500 Taman Rekreasi Madani (TRM) menjelang 2028.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, inisiatif itu membabitkan kerjasama Jabatan Landskap Negara (JLN) bersama Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan membangun dan menaiktaraf kemudahan taman rekreasi itu di seluruh negara dengan peruntukan RM50 juta.
Katanya, Selangor menjadi negeri tertinggi menerima peruntukan TRM berjumlah kira-kira RM 4 juta membabitkan lapan taman yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
“TRM ini bertujuan menyediakan kemudahan rekreasi dan riadah di samping mengeratkan jaringan sosial masyarakat bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat selaras dengan hasrat Kerajaan Madani untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan lebih banyak ruang rekreasi dan kawasan hijau awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Taman Rekreasi Madani Desa Pinggiran Putra di sini hari ini.
TRM Desa Pinggiran Putra dibangunkan dengan peruntukan RM500,000 berkeluasan 1.929 hektar yang diwartakan sebagai kawasan lapang.
Ia terbahagi kepada tiga kawasan lapang yang dibangunkan mengunapakai konsep pembangunan TRM dengan pelbagai kemudahan rekreasi khusus untuk penduduk di taman ini termasuk penduduk sekitar.
Pada tahun lalu, sebanyak 109 TRM dan Projek Pembangunan Landskap siap dibangunkan membabitkan kos RM51.9 juta.
TRM itu dibangunkan melalui enam tonggak Madani iaitu konsep mampan, sejahtera,daya cipta, hormat, yakin dan insan.
Aiman Athirah berkata, TRM itu dibangunkan melalui sentuhan pakar landskap negara dan ia menjadi satu taman yang boleh diakses oleh semua rakyat serta mesra pengguna termasuk golongan kurang upaya.
“Pengunjung dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan termasuk mengharapkan kerjasama daripada penduduk dan ahli majlis untuk memantau bagi mengelak aktiviti vandalisme pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.