KEPALA BATAS: Institusi pendidikan yang bukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) digalakkan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia penting bagi memastikan inisiatif tersebut dapat disampaikan kepada semua pelajar dan mendapat sokongan menyeluruh daripada semua pihak.
“Bermula hari ini di seluruh Malaysia, seramai 5.3 juta pelajar di bawah KPM mula memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah masing-masing. Pelancaran pemakaian Jalur Gemilang ini juga dilaksanakan serentak di seluruh negara hari ini.
“Bagi institusi pendidikan yang tidak berada di bawah KPM, kita menggalakkan mereka untuk turut serta memakai lencana Jalur Gemilang, agar inisiatif ini dapat diperluaskan dan disokong oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Sebelum ini, KPM memaklumkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu, berkuat kuasa pada 21 April 2025.
Fadhlina berkata, pelaksanaan inisiatif ini merupakan iltizam KPM bagi memastikan nilai-nilai berkaitan semangat kenegaraan, perpaduan dan jati diri kebangsaan dapat dipupuk sejak peringkat prasekolah hingga ke semua institusi pendidikan di bawah kementerian.
Tambah beliau, lencana Jalur Gemilang akan diberikan secara percuma kepada semua pelajar, dengan sokongan para guru yang akan sentiasa memberi peringatan tentang tatacara pemakaian serta etika yang berkaitan.
