
KUALA LUMPUR: MENANGANI isu sensitiviti agama, institusi raja dan kaum (3R) di negara ini terus menjadi fokus Kementerian Perpaduan Negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata sejak kebelakangan ini beliau sering diajukan soalan tentang tiada tindakan terhadap pihak yang menyentuh sensitiviti 3R, sedangkan kuasa penguatkuasaan bukan di bawah kementeriannya.
Beliau menjelaskan, dalam isu inii, kuasa mengambil tindakan undang-undang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Justeru, saya berharap supaya tindakan penguatkuasaan dipertingkat oleh agensi berkenaan,” katanya seperti dipetik dalam laman sosial X.
Dalam pada itu, Aaron berkata, antara langkah yang dilaksanakan kementerian dalam menangani isu berkenaan termasuk pemantauan isu melalui sistem eSepakat dan disalurkan kepada agensi berkaitan.
Selain itu, perkhidmatan mediasi melalui 571 Mediator Komuniti dalam bantu meredakan konflik dan mewujudkan Pusat Mediasi Komuniti, iaitu platform bukan perundangan (litigasi) untuk membantu komuniti dalam menyelesaikan pertikaian.
“Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan, yang terdiri daripada 12 kementerian dan agensi membolehkan langkah susulan diambil dengan segera.
“Pada masa sama, Dashboard Analitik Perpaduan membolehkan kementerian mengenal pasti kawasan panas untuk diberikan fokus melalui program intervensi, selain pelaksanaan program dan kempen yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya.