
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan dua individu yang mahu mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan berhubung penghapusan dan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, dua tahun lalu.
Permohonan itu dikemukakan Azhani Marlan @ Abd Halim, 49, dan Mohd Hatta Sanuri, 50, sebagai pemohon pertama dan kedua di Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Oktober 2024.
Dalam permohonan berkenaan, kedua-duanya menamakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keenam.
Ketika pendengaran di Mahkamah Tinggi hari ini, Peguam Kanan Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md Ali berhujah bahawa keputusan kerajaan untuk menghentikan subsidi diesel tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Menurutnya, keputusan tersebut tidak dibuat berdasarkan mana-mana undang-undang bertulis dan atas alasan itu, ia tidak termasuk dalam perkara yang boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Ia tidak dikawal oleh mana-mana undang-undang bertulis, sama ada undang-undang yang dirujuk peguam plaintif mengenai Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6(2)(g) Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Oleh kerana tiada undang-undang mengawal pemberian atau penarikan subsidi, maka ia tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman kerana tiada elemen undang-undang awam,” katanya.
Mohammad Salehuddin berkata, pertimbangan untuk meneruskan atau menamatkan pemberian subsidi merupakan keputusan berkaitan dasar fiskal dan ekonomi yang terletak di bawah kuasa eksekutif.
Menurut beliau, pemberian subsidi bukan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang, sebaliknya satu bentuk bantuan kewangan serta keputusan dasar kerajaan yang tidak wajar tertakluk kepada penilaian mahkamah.
Beliau turut memaklumkan responden berpendapat permohonan berkenaan sudah tidak lagi mempunyai kepentingan praktikal dan bersifat akademik, berikutan harga serta mekanisme subsidi diesel bagi seluruh negara telah diseragamkan mulai 1 Julai lalu.
“Keseluruhan tujuan semakan kehakiman ini adalah untuk mendapatkan layanan sama berhubung subsidi (diesel), antara Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Sebaik berkuat kuasa 1 Julai tahun ini, oleh kerana subsidi diberikan secara berperingkat kepada Semenanjung dan layanan sama diberikan kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara secara keseluruhannya, maka tidak ada lagi keperluan untuk mahkamah meneliti isu terbabit,” katanya.
Dalam permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman itu, kedua-dua pemohon antara lain memohon perisytiharan bahawa keputusan responden melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, dengan pengecualian sepenuhnya bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, adalah tidak rasional, tidak munasabah, tidak wajar, tidak logik serta tidak adil.
Mereka turut memohon supaya keputusan berkenaan diisytiharkan tidak sah di sisi undang-undang atas alasan ia didakwa bercanggah dengan hak kesamarataan setiap warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, peguam yang mewakili pemohon, Mohaji Selamat menegaskan bahawa isu tersebut tidak wajar dilabel sebagai akademik semata-mata kerana kerajaan kini mengembalikan subsidi diesel di Semenanjung secara berperingkat.
Beliau berhujah, berdasarkan beberapa keputusan mahkamah terdahulu dalam kes berasingan, sesuatu permohonan semakan kehakiman masih boleh dipertimbangkan walaupun keputusan atau tindakan yang menjadi subjek cabaran telah ditarik balik atau mengalami perubahan.
“Perkembangan terbaru ini (pemberian subsidi diesel secara kuota di Semenanjung) menunjukkan keputusan dibuat dahulu (penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, pengecualian Sabah dan Sarawak), membezakan rakyat di Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan Sarawak menggunakan bajet sama.
“Pihak kami berpandangan, kerosakan atau kesan yang berlaku susulan keputusan itu daripada 10 Jun 2024 sehinggalah 1 Julai 2026, tidak hilang hanya kerana subsidi dikembalikan,” katanya.
Mohaji berkata, pihak pemohon berpandangan keputusan kerajaan berhubung subsidi diesel tertakluk kepada undang-undang, termasuk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6(2)(g) Akta Kawalan Bekalan 1961.





