
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang memandu atau menunggang kenderaan tanpa dokumen pemanduan yang sah di negara ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membendung kegiatan warga asing yang tidak memiliki dokumen pemanduan sah daripada berada di jalan raya.
Menurut beliau, arahan telah diberikan kepada Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan supaya usaha mengekang kesalahan berkenaan dipertingkatkan.
“Saya sudah mengarahkan Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan untuk meningkatkan usaha mengekang pemandu warga asing yang tiada dokumen pemanduan berada di jalan raya.
“Tindakan yang akan diambil tidak hanya terhad kepada pemandu terbabit, tetapi juga terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka digunakan warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran NPI sempena Hari Malaysia 2026 di Menara 118, di sini malam tadi.
Aedy berkata, JPJ mempunyai pelan tindakan penguatkuasaan tahunan yang dibangunkan berdasarkan beberapa faktor termasuk prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pelaksanaan operasi dilakukan secara berfokus dan bersasar termasuk melalui Operasi Warga Asing (Op PEWA).
“Kita ada banyak operasi yang dilaksanakan secara berfokus dan bersasar. Antaranya adalah Op PEWA.
“Ini kerana JPJ mahu sentiasa memartabatkan undang-undang jalan raya. Sesiapa yang salah (melanggar peraturan) akan diambil tindakan,” katanya.
Mengulas mengenai penggunaan motosikal roda tiga yang sering dikaitkan dengan warga asing, Aedy berkata JPJ tidak mempunyai operasi khusus untuk mengesan kenderaan berkenaa.
Katanya, kenderaan terbabit akan terus disita sekiranya ditemui melakukan kesalahan.
“Di Malaysia, jumlah motosikal tiga roda tidak banyak. Apabila jumpa kenderaan ini, kami sita.
“Kami tahu modus operandi mereka yang menunggang motosikal itu dan maklumat pemilik kenderaan berkenaan.
“Pada masa sama, tindakan penguatkuasaan sentiasa diambil bagi memastikan mereka tidak berada di atas jalan raya,” katanya.





