
KUALA NERUS: Persiapan Terengganu FC (TFC) menjelang aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA menentang DPMM FC malam esok sedikit terganggu apabila empat tonggak utama dibelenggu kecederaan dan masih belum pasti dapat diturunkan.
Ketua jurulatih TFC Mohd Nafuzi Zain berkata Romel Morales, Muhammad Danial Amier Norhisham, Ngweni Ndasi dan penyerang Gervane Kastaneer masing-masing berada dalam keadaan 50-50 untuk beraksi pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Situasi itu menyaksikan bekas pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan berkenaan perlu melakukan sedikit rombakan pada kesebelasan utama dalam usaha memastikan skuad Penyu meneruskan kemaraan ke suku akhir.
“Empat pemain ini dalam keadaan 50-50, kita tengoklah petang esok macam mana (sama ada boleh diturunkan). Kita mahu pemain yang diturunkan benar-benar sihat dan cergas dalam misi memburu tempat ke suku akhir,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, petang semalam.
Sementara itu, Nafuzi mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dengan kelebihan tipis satu gol yang dimiliki menjelang pertemuan berkenaan kerana DPMM FC kendalian Jamie McAllister dijangka tampil lebih agresif untuk memburu kemenangan.
Justeru, dia mahu pemain memperkemas setiap aspek permainan terutama di bahagian serangan dan pertahanan bagi mengelak lawan mengambil kesempatan.
“Walaupun kita mempunyai kelebihan satu gol, ia tidak menjamin apa-apa. Masih ada 90 minit atas padang. Kita tahu perlawanan ini tidak mudah kerana DPMM FC akan hadir dengan agresif bagi mendapatkan seberapa banyak gol.
“Pemain mereka juga pastinya bersemangat selepas berjaya menewaskan Sabah FC pada perlawanan terakhir tempoh hari. Jadi saya harap pemain lebih fokus dan bermain sebagai satu unit. Daripada segi pertahanan perlu perkemaskan lagi supaya tidak bolos,” katanya.
Nafuzi turut mengharapkan kehadiran penyokong TFC ke SSMZA bagi menyuntik semangat pemain dalam misi mengesahkan tempat ke suku akhir.
“Untuk itu kami memerlukan sokongan para peminat untuk hadir ke stadium sebagai motivasi dan sokongan moral,” katanya. – BERNAMA







