
KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat pertuduhan berkaitan Program Jana Wibawa, membabitkan satu kesalahan menggunakan kedudukan untuk menerima suapan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar empat daripada keseluruhan tujuh pertuduhan terhadap Muhyiddin dikenakan perintah DNA.
“Mahkamah melepas dan membebaskan empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim.
Berdasarkan pertuduhan, Muhyiddin, 79, ketika menjadi Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut menghadapi tiga pertuduhan berkaitan penerimaan wang berjumlah RM200 juta yang didakwa merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih perlu menghadapi tiga pertuduhan lain, iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat – Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd – serta Azman, yang kesemuanya berkaitan Projek Jana Wibawa.
Ketika keputusan itu dibacakan, Muhyiddin yang berada di kandang tertuduh dilihat menarik nafas lega sebelum disambut sorakan penyokongnya yang memenuhi galeri awam.





