
PORT DICKSON: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar MyKad kepada versi baharu apabila permohonan dibuka mulai 17 September ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggantian MyKad baharu yang dilengkapi 50 ciri keselamatan tambahan itu akan dilaksanakan secara berfasa.
Katanya, MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk urusan harian dan orang ramai tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan dokumen pengenalan diri baharu berkenaan.
“Cuma saya nak nasihatkan supaya tidak berpusu-pusu segera menggantikan (MyKad).
“Sekarang ini, jumlah MyKad yang telah dikeluarkan adalah 24 juta, purata pengeluaran MyKad sekarang sebulan ialah 180,000 hingga 200,000,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan tajaan umrah kepada pelajar cemerlang di Kampung Bukit Tembok, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, penukaran MyKad baharu itu juga tidak akan menjejaskan sebarang transaksi baki atau kelayakan subsidi rakyat yang dipautkan kepada dokumen pengenalan diri berkenaan.
“Tidak timbul soal transaksi baki subsidi. Rekod itu adalah berdasarkan pada MyKad lama,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata JPN merekodkan antara 13,000 hingga 15,000 kes kegagalan mendaftarkan kelahiran setiap tahun.
Beliau menyifatkan jumlah berkenaan masih tinggi meskipun negara sudah lama mencapai kemerdekaan.
Katanya, kegagalan mendaftarkan kelahiran berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kekurangan maklumat, masalah sosial serta isu kekeluargaan yang akhirnya boleh menjejaskan masa depan kanak-kanak.
“Hakikatnya kita masih ada masalah dalam kalangan masyarakat yang tiada pengetahuan asas bahawa setiap kelahiran itu mesti didaftarkan dan ia masih lagi dianggap benda biasa.
“JPN mengendalikan antara 13,000 hingga 15,000 kes seperti ini yang tidak mendaftar kelahiran setahun. Jumlah ini dianggap tinggi ketika negara sudah lama merdeka,” katanya.
Beliau menggesa ibu bapa, penjaga serta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kegagalan mendaftarkan kelahiran supaya segera tampil ke pejabat JPN bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, pelbagai alasan dikemukakan ibu bapa atau penjaga yang gagal mendaftarkan kelahiran anak, termasuk masalah kewangan dan kekangan keluarga.






