
SEPANG: Polis mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia dalam ruangan simpanan tayar sebuah pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Menurut beliau, usaha mengesan waris mangsa sedang dijalankan bagi membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut.
“Pihak polis sedang berusaha untuk mengesan waris atau ahli keluarga mangsa bagi membantu proses pengecaman serta siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang dilaporkan hilang atau gagal dihubungi sejak 19 Ogos 2026, khususnya yang dipercayai mempunyai kaitan atau pernah berada di sekitar KLIA, diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ravi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mangsa juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 03-87768926.
Maklumat turut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Ridzuan Mohd Rosli di talian 011-14453057 atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Nicholas anak Idel di talian 018-7017291.
Sebelum ini, media melaporkan Balai Polis KLIA 2 menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira pukul 7 pagi pada 27 Ogos lalu.
Pemeriksaan awal polis mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa, manakala keadaan mayat sudah mereput dan tidak menunjukkan sebarang kesan kecederaan.
Mangsa dipercayai lelaki berusia antara 17 hingga 25 tahun berdasarkan saiz fizikal.





