
PETALING JAYA: Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan menepati ramalan apabila dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029 selepas memperoleh undi majoriti pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini.
Pada pemilihan sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 itu di sini, Ab Ghani memperoleh 20 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden.
Bagi jawatan naib presiden 1, Datuk Seri Rosmadi Ismail dipilih selepas memperoleh 15 undi, mengatasi Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar yang masing-masing mendapat lima undi.
Datuk N. Saaran pula dipilih sebagai naib presiden 3 selepas meraih 18 undi, manakala pencabarnya Afizal Abu Othman mendapat tujuh undi.
Dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif mewakili persatuan bola sepak negeri, Mohd Azizudin Mohd Shariff dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin masing-masing memperoleh 19 undi, diikuti Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil dengan 15 undi.
Turut bertanding bagi tiga jawatan berkenaan ialah Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Tang Chee Hong, Datuk Ramlan Shahean @ Askolani dan Mohd Faizul Mohd Noor.
Bagi dua jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif mewakili kelab pula, Datuk Kamarudin Hassan dan Datuk Syed Mahadi Syed Hassan dipilih selepas masing-masing memperoleh 15 undi.
Mereka mengatasi Datuk Dr P. Sugumaran yang meraih sembilan undi, Dr Johan Kamal Hamidon (enam) serta Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom (lima).
Sementara itu, legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif kategori profesional selepas memperoleh 22 undi untuk menewaskan Azlan Johar yang mendapat tiga undi.
Bagi kategori Ahli Jawatankuasa Eksekutif wanita, Datuk Suraya Yaacob dipilih selepas meraih 15 undi sementara Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah meraih 10 undi.
Sebagai rekod, jawatan naib presiden 2 tidak dipertandingkan dan akan disandang Presiden MFL selaras dengan Artikel 33 (2) Statut FAM
Pemilihan hari ini diadakan bagi mengisi semula barisan Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 selepas keseluruhan jawatankuasa sebelum ini meletak jawatan secara kolektif pada Januari lepas.
Keputusan berundur itu dibuat ketika FAM berdepan isu dokumen tujuh pemain skuad Harimau Malaya yang membawa kepada tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan pemain terbabit. – BERNAMA
Berikut merupakan keputusan penuh Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua hari ini:
Presiden:
- Datuk Ab Ghani Hassan – 20 undi
- Datuk Seri Shahril Mokhtar – 5 undi
Naib Presiden 1:
- Datuk Seri Rosmadi Ismail – 15 undi
- Mohd Firdaus Mohamed – 5 undi
- Syed Yazid Syed Omar – 5 undi
Naib Presiden 3:
- Datuk N.Saaran – 18 undi
- Afizal Abu Othman – 7 undi
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (FA – Persatuan Bolasepak Negeri):
- Mohd Azizudin Mohd Shariff – 19 undi
- Datuk Mohd Azhar Jamaluddin – 19 undi
- Datuk Mohd Hisamudin Yahaya – 12 undi
- Datuk Ramlan Shahean @ Askolani – 3 undi
- Datuk Alijus @Mohd Ali Sipil – 15 undi
- Mohd Faizul Mohd Noor – 4 undi
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (FC – Kelab):
- Datuk Kamarudin Hassan – 15 undi
- Datuk Syed Mahadi Syed Hassan – 15 undi
- Datuk Dr. P.Sugumaran – 9 undi
- Dr Johan Kamal Hamidon – 6 undi
- Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom – 5 undi
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Profesional):
- Datuk Zainal Abidin Hassan – 22 undi
- Azlan Johar – 3 undi
Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wanita):
- Datuk Suraya Yaacob – 15 undi
- Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah – 10 undi







