
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri akan membincangkan langkah sesuai bagi mengatasi isu kesesakan pada musim perayaan serta mekanisme lain menggantikan pemberian tol percuma pada Jumaat ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini, kerajaan meneliti langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah dihadapi oleh rakyat sama ada dari segi kos sara hidup mahupun kesesakan lalu lintas.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, kedua-dua perkara (isu) itu penting dan akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri nanti.
“Akan diadakan mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu ini bila sekembalinya Perdana Menteri dari lawatan luar negara, insya Allah akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasilnya.
“Apa yang disebut oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi adalah berdasarkan keputusan dasar yang dibuat sebelum ini tapi kerajaan akan menerima pandangan daripada semua pihak dan mengkaji langkah tepat untuk kita ambil ke depan,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Forum The Asia International Security Summit and Expo 2025 (AiSSE 2025) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Alexander berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menggantikan keputusan itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.
Pada tahun lalu, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.
habis