
KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang sedang melanda negara dijangka kekal dalam tempoh tiga hingga lima hari akan datang tanpa perubahan ketara, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi, berkata hujan yang diramalkan turun di beberapa kawasan masih belum mencukupi untuk meningkatkan kualiti udara secara menyeluruh.
“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.
“Kita harap hujan membantu, tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya ketika temu bual dalam program Bernama TV ‘Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.’
Maqrun Fadzli berkata keadaan jerebu ketika ini lebih ketara di kawasan barat dan selatan Sarawak sehingga menyebabkan lebih 100 sekolah di Serian ditutup semalam.
Beliau menambah, fenomena sama turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Lembah Klang.
“Keadaan cuaca yang lebih kering ketika ini dipengaruhi Monsun Barat Daya yang lazimnya berlangsung dari Mei hingga September, sekali gus mengurangkan taburan hujan dan meningkatkan risiko jerebu.
“Apabila kita tidak mendapat banyak hujan, cuaca akan menjadi lebih panas dan keadaan panas ini menyumbang kepada risiko berlakunya pembakaran.
“Daripada pembakaran tersebut terhasil asap dan apa yang kita panggil sebagai jerebu,” ujarnya.
Beliau berkata, MetMalaysia turut memantau titik panas menerusi imej satelit bagi mengesan lokasi kebakaran hutan, sebelum maklumat tersebut digabungkan dengan data arah angin untuk meramalkan pergerakan asap dan zarah terampai.
Menurutnya, analisis berkenaan membolehkan pihaknya mengenal pasti kawasan yang berisiko mengalami keadaan jerebu lebih buruk, selain mengunjurkan arah pergerakan pencemaran udara tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengehadkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar yang boleh menjejaskan kesihatan.





