PUTRAJAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bakal menerajui Jawatankuasa Khas Peraturan Produk Anti-Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang ditubuhkan kerajaan.
Menurut kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), penubuhan jawatankuasa khas itu bertujuan menyelaras tindak balas menyeluruh negara terhadap peraturan terbabit serta memastikan akses berterusan ke pasaran Kesatuan Eropah (EU).
Katanya, keutamaan jawatankuasa terbabit adalah untuk memperoleh pengiktirafan Malaysia sebagai Negara Berisiko Rendah di bawah rangka kerja EUDR.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan menteri KPK, dan membabitkan tiga kementerian utama iaitu KPK sendiri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Dalam memperoleh pengiktirafan Negara Berisiko Rendah itu, antara usaha dilakukan termasuk mengukuhkan sistem keterkesanan (traceability) negara.
“Jawatankuasa juga akan memastikan penyediaan data hutan boleh dipercayai kepada Penilaian Sumber Hutan Global (FRA) oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), yang menjadi asas kuantitatif bagi penilaian risiko negara di bawah EUDR,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya Eropah (EC) memberi penilaian status ‘risiko standard’ kepada Malaysia baru-baru ini di bawah EUDR.
Media melaporkan Undang-Undang EUDR akan berkuat kuasa pada 30 Disember ini, sekali gus memberi cabaran besar kepada industri sawit negara.
Pada masa sama, menurut KPK, jawatankuasa kerja itu akan dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha tiga kementerian berkenaan.
Katanya, jawatankuasa itu juga akan berperanan sebagai saluran utama untuk pembabitan Malaysia bersama EC, termasuk penyampaian set data rasmi, kemas kini dasar serta penyertaan dalam pertukaran teknikal.
KPK memaklumkan, usaha menyeluruh kerajaan itu mencerminkan komitmen teguh Malaysia terhadap kelestarian dalam sektor komoditi utama negara termasuk minyak sawit, getah, kayu dan koko, yang secara keseluruhan menjana nilai eksport global sebanyak RM186 bilion sepanjang tahun 2024.
