
KUALA LUMPUR: Menyedari kepentingan menangani masalah sosial dalam kalangan belia seperti penyalahgunaan bahan terlarang, masalah mental dan jenayah ringan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh berkaitan.
Antaranya dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi merangka beberapa inisiatif holistik.
Menteri KBS, Hannah Yeoh berkata, kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan kesedaran, menyediakan intervensi efektif, serta membendung gejala sosial melalui pendekatan bersepadu.
“Program ini dirancang secara interaktif untuk mendidik belia tentang risiko penyalahgunaan dadah, kaedah mendapatkan bantuan, dan kepentingan dukungan psikososial.
“Aktiviti seperti forum, simulasi, dan kempen digital akan dilaksanakan bagi memastikan maklumat sampai kepada kumpulan belia,” katanya.
Terdahulu, Hannah menghadiri sesi taklimat oleh Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di Hospital Kuala Lumpur bagi merancang dan mempergiatkan agenda advokasi berfokuskan empat komponen utama: Kesan Penggunaan Bahan, Corak Penggunaan Dadah, Sistem Rawatan Perkhidmatan Yang Disediakan, serta Perkhidmatan Pesakit Luar & Pesakit Dalam berserta Jenis Intervensi.
Dalam pada itu, Hannah juga menyatakan kolaborasi bersama pelbagai rakan strategik menjadi teras utama pelan tindakan KBS dalam membantu belia Malaysia mencegah dan mendapatkan bantuan sekiranya mereka telah terjebak.
Katanya, sumbangan kepakaran perubatan dalam aspek rawatan dan rehabilitasi manakala PDRM memberi input pencegahan melalui penguatkuasaan dan program kesedaran komuniti.
Selain itu, KBS turut memperluas jaringan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan NGO yang berwibawa dalam bersama membantu belia.