
KUALA LUMPUR: Mempersenda atau menghina agama lain adalah perbuatan dilarang dalam agama Islam selain ia tidak beretika serta boleh menjejaskan keharmonian sosial, tegas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Katanya, walaupun media sosial menjadi platform utama untuk berinteraksi, berkongsi maklumat dan menyuarakan pendapat, namun, kebebasan ini perlu disertai dengan tanggungjawab serta kepekaan yang tinggi, terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan sensitiviti agama dan kepercayaan.
“Setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya dan sebagai masyarakat majmuk, kita perlu saling menghormati dan memahami kepelbagaian ini sebagai kekuatan yang menyatukan dan bukan memecahbelahkan.
“IKIM menasihatkan setiap individu perlu memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya.
“Menghormati kepercayaan orang lain adalah asas kepada kehidupan yang harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu membabitkan tiga penyampai radio yang dipercayai menyinggung perasaan penganut Hindu menerusi video kontroversi mempersenda tarian kavadi.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Azam berkata, orang ramai tidak seharusnya menggunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan yang bersifat provokatif, menghina atau mempersendakan agama lain.
“Perbuatan ini bukan sahaja menyakiti hati penganut agama berkenaan, malah boleh mencetuskan ketegangan sosial.
“Selain itu, sebelum berkongsi atau menulis sesuatu di media sosial, fikirkan kesannya terhadap orang lain. Adakah kandungan tersebut boleh menyinggung perasaan atau menjejaskan keharmonian masyarakat?,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya hormati kepelbagaian agama, elakkan kandungan provokatif, peka dan bertanggungjawab, amalkan nilai toleransi serta melaporkan penyalahgunaan jika menemui kandungan yang menghina atau mempersendakan agama di media sosial seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).