
BUKIT KAYU HITAM : Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan proses mengenal pasti, merekodkan serta menjalankan tapisan terhadap 5,000 pelarian Rohingya sebagai persediaan untuk menghantar pulang mereka ke Myanmar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula rakyatnya yang kini berada di Malaysia.
Menurut beliau, proses berkenaan dijalankan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) mengikut Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, dengan KDN berperanan sebagai agensi peneraju yang menyelaras pelaksanaan bersama beberapa agensi berkaitan.
“Proses DPP itu melibatkan beberapa peringkat termasuk mengesan, mengenal pasti, menjalankan tapisan keselamatan serta menentukan status setiap individu sebelum dokumen pengesahan status dikeluarkan.
“Tapisan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia. Pada akhir proses itu, seseorang individu akan diberikan keputusan mengenai status pelariannya dan dokumen akan dikeluarkan bagi mengesahkan status tersebut selepas melalui proses berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga.
Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa persetujuan awal yang dicapai bersama kerajaan Myanmar adalah bagi menerima semula 5,000 rakyat negara itu, namun proses mengenal pasti individu yang layak perlu dilaksanakan secara teliti bagi memastikan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, setakat ini seramai kira-kira 22,000 individu ditempatkan di 19 depot imigresen di seluruh negara, dengan hampir 4,000 daripadanya merupakan warga Myanmar yang telah dikenal pasti.
“Daripada jumlah itu, kita telah mengenal pasti 4,000 orang dari Myanmar. Mereka inilah yang akan menjalani proses tapisan dan akan ditempatkan di satu depot, bukannya berselerak di 19 depot, bagi memudahkan proses yang sedang kita jalankan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata, usaha mengenal pasti dan menapis individu terbabit kini sedang dilaksanakan, bukannya lagi di peringkat perancangan. Katanya, sebarang urusan susulan termasuk perbincangan dengan kerajaan Myanmar selepas proses itu selesai akan diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia susulan rundingan yang diadakan antara kedua-dua negara.





