
SHAH ALAM : Pelaksanaan kira-kira 75 peratus daripada syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) membuktikan kesungguhan institusi itu dalam memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, komitmen ditunjukkan pihak pengurusan bersama seluruh warga TH dalam melaksanakan proses pemulihan sewajarnya diberi pengiktirafan.
“Alhamdulillah, tirai RCI telah dibuka, selain belajar daripada sejarah dan luka semalam, jangan terlupa menghargai tangan yang tekun menyembuhkannya.
“Membina lebih sukar daripada mengkritik. Memulihkan lebih berat daripada menghukum.
“Tahniah dan terima kasih saya ucapkan buat Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan serta seluruh warga TH, kerana atas ikhtiar gigih melaksanakan 75 peratus daripada cadangan RCI,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Laporan RCI yang diterbitkan mendapati penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berikutan pertembungan politik.
Menurut laporan itu, keadaan ini telah menyebabkan ada pihak-pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan yang dibuat TH sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti TH.






