
TAMPIN: Sebarang aduan rasmi berhubung dakwaan politik wang atau sogokan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, pihak yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu disaran mengemukakan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami berharap pihak yang mempunyai maklumat berkenaan dengan perkara tersebut dapat mengemukakan aduan rasmi terus kepada pihak agensi berkaitan iaitu SPRM ataupun PDRM.
“Pihak kami cuma menerima laporan berkaitan dengan kesalahan kecil pilihan raya dan itu yang telah pun kita ambil tindakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan PRN Negeri Sembilan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana Tampin hari ini.
Ramlan berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 267 kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen pada PRN Negeri Sembilan yang bermula 18 Julai lepas dan tindakan telah pun diambil.
Tambah beliau, semua pusat mengundi di Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menerima pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab masing-masing esok.







