
KUALA LUMPUR: Pelan pemulihan dan penstrukturan semula Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2018 merupakan langkah penyelamatan kewangan (bailout) bagi mengelakkan institusi itu daripada berdepan insolvensi.
Dalam kenyataan TH, langkah itu juga perlu bagi melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan institusi berkenaan.
Kata kenyataan itu, tanpa tindakan berkenaan institusi itu berisiko berdepan pengeluaran deposit secara besar-besaran yang boleh mencetuskan krisis pasaran kewangan dan menggugat kestabilan negara.
“Jurang antara aset dan liabiliti yang melebihi RM10 bilion pada akhir 2018 pada akhir 2018 berpotensi mencetuskan deposit run.
“Ia sekali gus memaksa TH menjual aset pada harga terdesak bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal oleh pendeposit,” katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, pelan pemulihan tersebut berjaya menangani kerugian pelaburan sebanyak RM12.6 bilion, sekali gus mengembalikan institusi itu ke landasan kewangan lebih kukuh dan mampan.
Katanya, kadar Agihan Keuntungan turut meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, di samping membolehkan TH mula membina semula rizab masa depan lebih stabil.







