
KAJANG: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga beranak dalam kemalangan di Jalan Batu 17, Hulu Langat, Rabu lalu.
Tertuduh, Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa kepada dua anak itu didakwa memandu sebuah Perodua Aruz di bawah pengaruh dadah berbahaya jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; isterinya, Nik Aishah Asilah Nik Mohd. Zamzuri, 32; serta anak lelaki mereka, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi, 3.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Batu 17, Hulu Langat pada pukul 7.56 pagi, 29 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 jika disabitkan kesalahan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh turut boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh sabitan.
Bagi kesalahan berulang, tempoh hilang kelayakan itu boleh meningkat kepada 20 tahun mengikut Seksyen 44(3) akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Namun, peguam S. Priyalatha yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.
Menurutnya, tertuduh yang bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan turut menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, selain dikenakan syarat melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap hari pertama setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan patologi.
Rabu lalu, media melaporkan tiga sekeluarga maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Batu 17, Hulu Langat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati Perodua Aruz yang dipandu tertuduh dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.




