
KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan itu yang disyaki terbabit dalam kes penyeludupan dadah.
Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius dakwaan yang dikaitkan dengan kakitangannya dan akan mematuhi segala proses siasatan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Menurut Malaysia Airlines, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut berhubung kes berkenaan memandangkan siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia masih berjalan.
“Malaysia Airlines ingin menegaskan kami tidak bertolak ansur terhadap sebarang salah laku. Pada masa sama, semakan dalaman sedang dijalankan berhubung insiden ini,” menurut kenyataan itu.
Katanya, keselamatan penumpang, aspek keselamatan penerbangan serta integriti operasi kekal menjadi keutamaan syarikat.
Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia, Djaka Budi Utama dilaporkan berkata, juruterbang terbabit sedang disiasat kerana disyaki cuba menyeludup dadah termasuk pil ekstasi yang dianggarkan bernilai kira-kira 60 bilion rupiah (RM14 juta).
Media Indonesia sebelum ini melaporkan suspek yang merupakan lelaki warga Malaysia berusia 39 tahun dipercayai cuba membawa masuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram ke negara itu.
Menurut laporan, lelaki tersebut mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pihak berkuasa di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Rabu lalu.
Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia.





