
TEMERLOH: Hasrat seorang peniaga pasar malam untuk menyertai program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd. Shahrizan, 19, dari Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha LC135 yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Terengganu bagi menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0 bersama empat lagi penunggang motosikal.
Menurut beliau, setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di lorong kiri lebuh raya.
“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke lorong kanan sebelum dilanggar sebuah Perodua Myvi yang gagal mengelak.
“Mangsa kemudian tercampak semula ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, hasil siasatan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu motosikal yang sah ketika kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikal yang ditungganginya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.





