
PUTRAJAYA : Peratusan kanak-kanak dalam populasi Malaysia terus mencatatkan penyusutan apabila kumpulan berumur 0 hingga 14 tahun merangkumi 21.2 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2026, berbanding 21.6 peratus pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, bagi kumpulan penduduk berumur 15 hingga 64 tahun yang mewakili usia bekerja, komposisinya kekal pada kadar 70.4 peratus sepanjang tempoh berkenaan.
Pada masa sama, katanya, peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun ini berbanding 8.0 peratus yang direkodkan pada 2025.
“Komposisi penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun daripada 21.6 peratus pada 2025 kepada 21.2 peratus pada tahun ini sementara, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) kekal pada 70.4 peratus berbanding 2025.
“Dalam tempoh yang sama, peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 8.0 peratus kepada 8.4 peratus,” katanya dalam kenyataan media Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Beliau berkata, perubahan dalam struktur demografi negara itu menyaksikan sebanyak 12 negeri kini mencapai status negeri menua, iaitu apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Katanya, Perak terus mencatatkan peratusan warga emas tertinggi pada kadar 10.8 peratus, selain umur penengah penduduk Malaysia meningkat kepada 31.7 tahun pada 2026 berbanding 31.3 tahun yang direkodkan tahun sebelumnya.
Sementara itu, Siti Asiah berkata, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan bertambah kepada 34.4 juta orang pada 2026 berbanding 34.2 juta orang pada 2025, dengan kadar pertumbuhan penduduk kekal pada 0.5 peratus.
Menurut beliau, bilangan penduduk warganegara meningkat daripada 30.8 juta kepada 31.0 juta, manakala pertumbuhan penduduk bukan warganegara terus mencatatkan kadar negatif iaitu -0.2 peratus.
“Selangor kekal mencatatkan peratusan penduduk tertinggi pada 2026 dengan 21.7 peratus, diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11.0 peratus),” katanya.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya masing-masing merekodkan peratusan penduduk terendah iaitu 0.3 peratus dan 0.4 peratus.
Laporan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2026 diterbitkan DOSM berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan kaedah komponen kohort yang mengambil kira faktor kelahiran, kematian dan migrasi. Laporan itu membentangkan anggaran penduduk bagi tahun 2025 dan 2026.
Di peringkat negeri, Terengganu merekodkan kadar pertumbuhan penduduk tertinggi iaitu 1.2 peratus, diikuti Kelantan (1.0 peratus), Selangor (0.6 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.6 peratus) dan Pahang (0.6 peratus).
Dari segi komposisi umur mengikut negeri pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan peratusan penduduk berumur 0 hingga 14 tahun tertinggi iaitu 31.4 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan komposisi penduduk umur bekerja tertinggi sebanyak 76 peratus.
Malaysia turut mencatat nisbah tanggungan keseluruhan sebanyak 42.0 pada 2026 berbanding 42.1 pada tahun sebelumnya, didorong oleh penurunan nisbah tanggungan umur muda, manakala nisbah tanggungan umur tua terus meningkat.



