
SHAH ALAM: Seramai 9,515 etnik Rohingya direkodkan menetap di beberapa lokasi di daerah Hulu Langat hasil semakan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bersama agensi berkaitan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penempatan mereka lebih tertumpu di kawasan bandar, manakala di kawasan luar bandar seperti Hulu Langat dan Beranang jumlahnya dianggarkan sekitar 20 hingga 30 orang bagi setiap lokasi.
“Jumlah itu bertambah lagi apabila kita melihat di kawasan-kawasan bandar yang lain seperti di Cheras kehadiran di satu-satu lokal itu di antara 200 hingga 300 dan apabila sampai di Ampang jumlahnya berlipat kali ganda mencecah ribuan orang.
“Seperti di Tasik Tambahan hampir 2,000 orang, di Pandan Mewah hampir 1,500 orang dan tempat seperti di Taman Bandar Baru Ampang, KOSAS dan sebagainya ada sekitar 300 orang,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Amirudin berkata demikIan bagi menjawab soalan tambahan Datuk Johan Abd Aziz (BN-Dusun Tua) berhubung wujudnya isu pendatang asing dan warga Rohingya di Hulu Langat.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan terdapat rakyat tempatan yang dipercayai melindungi pendatang tanpa izin, termasuk etnik Rohingya sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata, kewujudan pakatan tidak wajar antara segelintir penduduk tempatan dengan golongan terbabit menjadi antara faktor yang menghalang usaha pihak berkuasa mengambil tindakan secara berkesan.
“Jadi penguatkuasaan harus juga dilibatkan bukan hanya kepada pihak yang terbabit, tetapi mereka yang terlibat bersekongkol malah mengambil kesempatan atas situasi terdesak mereka untuk tinggal dan survive (di Malaysia),” katanya.





