
KUALA LUMPUR: Perodua mengumumkan pengurangan harga bagi model Axia sehingga RM4,700 berkuat kuasa serta merta.
Pengurangan harga itu dibuat berikutan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat selain usaha Perodua mengukuhkan komitmennya dalam membantu pelanggannya menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata. harga baharu tersebut adalah antara usaha berterusan syarikat untuk mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan usaha kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan.
“Kesemua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah dan penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya daripada penambahbaikan proses dan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pengurangan harga yang dibuat adalah hasil daripada inisiatif penambahbaikan yang berterusan dan mampan serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif.
Katanya, sebagai kereta paling mampu milik di Malaysia, Axia telah terbukti menjadi kenderaan yang boleh dipercayai rakyat Malaysia.
“Pelarasan harga yang dibuat mengukuhkan komitmen Perodua untuk memastikan model kereta ini boleh diakses oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara.
“Kami berterima kasih kepada pembekal dan pengedar kami di atas kerjasama dalam menambah baik kecekapan kos untuk manfaat bersama bukan sahaja pemain industri tetapi juga seluruh rakyat Malaysia,” katanya.






