
PUTRAJAYA: Kerjasama politik yang dibentuk di peringkat negeri tidak bercanggah dengan asas penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kerana kedua-duanya beroperasi dalam landskap politik yang berbeza.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, setiap negeri mempunyai perlembagaan, kepimpinan serta realiti politik tersendiri yang perlu diambil kira dalam menentukan bentuk kerjasama politik.
Beliau berkata, keadaan politik di negeri tidak boleh disamakan dengan pentadbiran di peringkat Persekutuan kerana setiap negeri mempunyai struktur pemerintahan dan keunikan masing-masing.
“Setiap negeri mempunyai perlembagaan sendiri, kepimpinan sendiri serta institusi Raja atau Sultan masing-masing.
“Justeru, pendekatan politik di peringkat negeri berbeza dengan di pusat dan perkara ini telah dijelaskan berkali-kali oleh kepimpinan parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi supaya perjanjian Kerajaan Perpaduan yang membabitkan Barisan Nasional (BN) ditamatkan susulan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Sebelum ini, Mohd Puad yang mengumumkan keluar daripada UMNO pada Jun lalu dilaporkan berpendapat Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan khususnya melibatkan BN wajar ditamatkan lebih awal serta dibatalkan.
Beliau turut menyifatkan alasan kerjasama politik di peringkat negeri berbeza dengan di peringkat Persekutuan sebagai tidak lagi relevan.
Azalina berkata, bentuk kerjasama politik di setiap negeri ditentukan berdasarkan keputusan kepimpinan parti dengan mengambil kira keadaan politik setempat.
Katanya, pendekatan BN juga berbeza mengikut negeri, termasuk bertanding secara solo di Johor, menjalin kerjasama dengan PN di Negeri Sembilan, manakala di Sabah pula bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Setiap negeri mempunyai pembentukan politik yang berbeza mengikut keputusan parti dan kesesuaian keadaan semasa,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan, Sabtu lalu, persefahaman antara BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila gabungan itu menguasai 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
UMNO memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandinginya, MCA memperoleh dua kerusi, manakala PN menerusi Pas memenangi empat kerusi dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) meraih tiga kerusi, sekali gus menamatkan pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.







