
BATU PAHAT: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan mencederakan isterinya dengan menumbuk bibir wanita itu dalam kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.
Tertuduh berusia 32 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Sebaik prosiding ikat jamin berlangsung, majistret bertanya kepada tertuduh mengenai tempat tinggalnya sekiranya dibenarkan diikat jamin kerana mahkamah tidak membenarkan dia tinggal serumah dengan isterinya sepanjang kes masih berjalan.
Menjawab pertanyaan itu, tertuduh memaklumkan akan tinggal bersama ibu bapanya buat sementara waktu sehingga kes berkenaan selesai.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menumbuk, menarik serta menolak isterinya yang berusia 40 tahun sehingga badan mangsa terkena dinding dalam kejadian di sebuah rumah di Parit Raja dekat sini pada pukul 10.30 malam, 29 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama kerana kesalahan dilakukan terhadap pasangan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum bagi kesalahan asal.
Berdasarkan fakta kes, pergaduhan dipercayai tercetus selepas tertuduh cemburu apabila isterinya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan lelaki.
Tertuduh kemudian bertindak menyiram air ke muka mangsa sebelum menarik wanita itu ke dalam bilik dan menolaknya sehingga terhentak pada dinding.
Kejadian tersebut turut disaksikan anak perempuan mangsa yang campur tangan untuk meleraikan pergaduhan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu sebutan kes serta tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain dilarang mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 28 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.






