
BUKIT MERTAJAM: Seorang pejalan kaki maut selepas tersepit di bawah sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di jejambat Jalan Bukit Tengah di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu, mangsa lelaki berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) akibat kecederaan parah.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.40 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba 16 minit kemudian dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan jenis Hino serta seorang pejalan kaki.
“Mangsa didapati tersepit di bawah lori manakala pemandunya, seorang lelaki berusia lingkungan 30an, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebaik mangsa dikeluarkan, pegawai perubatan KKM mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung punca kemalangan.
Operasi menyelamat melibatkan lapan anggota bomba bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi itu turut mendapat kerjasama anggota PDRM serta petugas KKM.






