
KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Amin Kamarulzaman (KA) memperkenalkan produk terbaharu Sambal Nyet Bilis.
KA memberitahu, Sambal Nyet Bilis memiliki rasa berbeza, lebih kick malah menggunakan lebih banyak bahan.
“Selepas enam tahun menjalankan perniagaan dengan satu produk sambal sahaja, akhirnya kita dah bersedia untuk keluarkan sambal yang baru,” katanya.
Melalui video promosi KA di media sosial, dia telah mengikuti para nelayan tempatan di Setiu, Terengganu dalam ‘menjiwai’ pahit getir menangkap ikan bilis di perairan di negeri Pantai Timur berkenaan.

Selain itu, dia turut mengunjungi ladang cili di Banting, Selangor untuk mendekati para petani dalam penghasilan cili.
“Ikan bilis digunakan dalam sambal baharu ini adalah kerana untuk mendapatkan rasa lebih kick dan kuat seperti sambal dulu-dulu malah ikan bilis berkenaan akan melalui proses kawalan kualiti untuk memastikan produk berkenaan dalam keadaan terbaik.
“Bagi produk baharu ini, kita akan menggunakan lebih banyak cili hijau kira-kira 75 peratus manakala 25 peratus cili merah untuk mendapatkan rasa pedas lebih lembut dan berlemak serta lebih wangi dalam pembikinan sambal baharu ini,” katanya.

Dia memberitahu, bahan-bahan lain termasuk tomato, limau purut dan sambal belacan turut digunakan untuk memastikan kelainan rasa berbanding Sambal Nyet.
“Pelancaran produk terbaharu ini akan menjadi yang terbesar KA pernah buat. Jadi nantikan pengumuman seterusnya sepanjang minggu ni.
“Terima kasih guys for your support selama ni, pejam celik dah 6 tahun kita berniaga bersama,” katanya.







