
TANAH MERAH: Polis menyifatkan kehilangan Hud Aryan Mohd Nor Hafifi yang berusia 19 bulan dari rumah neneknya di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, sebaliknya berkata, polis setakat ini mengklasifikan insiden itu sebagai sebagai orang hilang.
Malah katanya, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan atau penawaran daripada mana-mana pihak berhubung kehilangan anak tunggal itu.
“Setakat ini kes ini tiada petunjuk unsur jenayah atau tanda mengatakan terbabit dengan jenayah sebaliknya orang hilang semata-mata.
“Justeru saya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sepatutnya dan boleh mengaibkan keluarga.
“Setakat ini operasi hari ketiga masih diteruskan dan saya berharap operasi kami dipermudahkan dan kanak-kanak itu ditemui,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Terdahulu, media melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki hilang daripada rumah keluarganya dekat Kampung Aira Kuala Tiga di sini, malam kelmarin.
Kehilangan Hud Aryan disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam oleh ahli keluarganya.