
IPOH: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri mahu tahap keselamatan di masjid dan surau dipertingkatkan pada Ramadan ini.
Hal ini kerana beliau melihat soal keselamatan sebagai kepentingan bagi memantau dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini sebagaimana berlaku kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.
“Saya setuju. Pihak masjid seharusnya perketatkan lagi urusan (keselamatan) di masjid, supaya tidak ada orang dengan mudah mengambil peluang.
“Diharapkan mereka (masjid dan surau) yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), menggunakan fasiliti itu untuk menjaga keselamatan terutama kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat zon utara di Ipoh di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang lelaki berusia 19 tahun yang memiliki kad Orang Upaya (OKU) masalah pembelajaran diremen tujuh hari sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan kes cabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali.
Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh, pada 21 Februari, lalu.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul.
Dalam perkembangan sama, Nancy menasihati orang ramai untuk berhenti menyebarkan video dan gambar kes menerusi laman sosial memandangkan mangsa adalah kanak-kanak yang dilindungi di bawah undang-undang.