
SERDANG: Sebanyak 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Syahril Firdaus Ab Razak, berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
“Sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varietinya.
“MARDI membangunkan teknologi berasaskan cap jari DNA yang mampu mengenal pasti varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, analisis dibuat bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran selaras penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada 2023.
Katanya, campuran beras dipercayai berlaku di peringkat pengilang dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.
Mohd Syahril Firdaus berkata, campuran BPI dan BPT dipercayai berlaku apabila dijual kepada pengilang.
Mohd Shahril berkata, MARDI mempunyai profil rujukan cap jari DNA bagi kebanyakan tanaman termasuk lebih 50 varieti padi.
“Teknologi Pencapjarian DNA berkenaan mampu mengesan varieti dan sumber asal beras dengan bukti saintifik.
“Setiap sampel beras dalam kampit dibahagi kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah yang diambil secara rawak sebelum melalui proses pengekstrakan DNA dan kawalan kualiti,” katanya.
Beliau berkata, analisis penskoran dibuat menggunakan perisian GneMapper5/Typer4.
Mohd Shahril berkata, belum ada akta khas menghalang perbuatan campuran BPT dan BPI.