
KOTA BHARU: Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Paras sungai itu dicatat pada bacaan 10.39 meter (m) setakat pukul 8 pagi, melebihi paras bahaya 9m.
Sehubungan itu, beberapa kawasan kampung di sekitar Rantau Panjang mula dinaiki air sejak malam tadi termasuk Kampung Bagus, Kubang Rambutan, Kedai Lama dan Kampung Kedap.
Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai lagi melepasi paras waspada iaitu Sungai Semerak di Pasir Puteh dengan bacaan 2.26m dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah iaitu 22.18m.
Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Tanah Merah masih kekal dengan 62 orang setakat ini.
Mereka terdiri daripada 17 keluarga yang berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), antara PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kulim, SK Gual Jedok dan Balai Raya Padang Kijang.