
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) Bilangan 1 Tahun 2025 bersetuju supaya kerajaan negeri menetapkan pelaksanaan aktiviti menyahenap cemar tangki septik individu secara berkala, khususnya bagi premis dan agensi kerajaan negeri, bagi mengurangkan beban pencemaran sungai.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, JKKAS juga bersetuju melaksanakan pendekatan Pengurusan Sumber Air Secara Bersepadu (IWRM) yang sejajar dengan Pelan Tindakan AIR2040.
Katanya, pelaksanaan itu bagi memperkasa agensi agensi sedia ada dalam menangani pencemaran air kumbahan dan punca tidak tetap (NPS) di kawasan empangan, kolam dan tasik.
“JKKAS turut menyokong cadangan penangguhan caj air kembalian bulanan yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Negeri terhadap Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) di bawah peraturan Dasar Pelepasan Sifar (DPS), sehingga perancangan projek air pulih guna dilaksanakan sepenuhnya.
“Dalam usaha menangan pencemaran sungai, JKKAS menggalakkan penggunaan kaedah inovatif iaitu sistem NAHRIM Environmental Dredging System (NEDS).
“Sistem NEDS mengurangkan endapan tercemar tanpa memberi impak besar terhadap ekosistem akuatik, menggalakkan produk tempatan, menjana keuntungan dan menjimatkan kos berbanding penggunaan alat-alat konvensional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JKKAS Bilangan 1 Tahun 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, Fadillah memberitahu, Program Denai Kebangsaan (DSK) juga akan diperkasakan melalui penglibatan kerajaan negeri dan pelbagai pihak berkepentingan yang memberi nilai tambah dari segi pembangunan fizikal dan infrastruktur.