KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum baharu iaitu RM1700 yang bermula bulan ini disifatkan sebagai satu daripada langkah terbaik dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat berdepan kenaikan kos hidup.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, gaji yang adil dan kompetitif adalah penting untuk motivasi pekerja serta membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, peningkatan kos hidup menyebabkan kerajaan dan semua pihak yang terlibat membuat keputusan untuk meningkatkan kadar gaji minimum golongan pekerja di negara ini.
“Perbincangan dan membuat keputusan mengenai perkara itu (kenaikan gaji minimum) melibatkan semua peringkat berkepentingan termasuk ahli akademik, kesatuan pekerja, majikan dan kerajaan supaya pelaksanaan ini dapat memberi kesan yang menyeluruh.
“Keputusan yang dibuat juga tidak melibatkan kepentingan segelintir kumpulan pekerja atau mana-mana sektor, sebaliknya melibatkan semua pihak dalam industri pekerjaan,” katanya kepada Ceritera.
Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa di seluruh negara mulai Februari 2025 dan perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, semua pihak yang terlibat juga bersetuju untuk meneliti semula pelarasan gaji minimum berkenaan setiap dua tahun.
Beliau berkata, peningkatan gaji akan ditentukan selepas penelitian dibuat berdasarkan keadaan ekonomi semasa.
“Kita mengumpul pelbagai data berkaitan untuk pastikan setiap pelarasan gaji yang dibuat memberi kesan positif,” katanya.
Ditanya mengenai adakah pelarasan gaji minimum baharu itu memudahkan golongan pekerja memperoleh pinjaman bank untuk membeli rumah atau kenderaan, Syed Hussain berkata, ia bergantung kepada kelayakan seseorang individu itu dalam mendapatkan pinjaman.
Katanya, selain kadar gaji, bank juga akan meneliti aspek lain pada pemohon sebelum sesuatu pinjaman diluluskan.
“Ada sesetengah orang, gaji lepas tapi ada aspek lain yang tidak lepas, jadi pinjaman bank dia tidak diluluskan.
“Isunya, gaji naik atau tidak, yang paling penting adalah kemampuan untuk membayar semula pinjaman bank yang dibuat, perlu ada tanggungjawab di situ,” ujarnya.