KUALA LUMPUR: Golongan pekerja yang menerima kenaikan gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini lebih mengutamakan keperluan asas untuk kelangsungan hidup berbanding memiliki kediaman idaman.

Pengasas Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak berpendapat, ini kerana golongan tersebut mempunyai komitmen kewangan yang tinggi dan masih tidak mampu untuk memiliki hartanah.
“Kenaikan gaji minimum ini adalah perkara yang sangat baik dan dialu-alukan. Ia pastinya membantu sedikit sebanyak meringankan beban rakyat.
“Tetapi, ia tidak akan menjadi jambatan kepada pemilikan hartanah, namun ia berbeza dengan golongan penjawat awam yang menerima penyelarasan gaji dengan kenaikan 15 peratus, mampu untuk membeli kediaman.
“Bagi golongan yang menerima kenaikan gaji minimum ini, mereka perlu menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat lebih-lebih lagi yang sudah mempunyai keluarga,” katanya ketika dihubungi Ceritera hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.
Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Tambah Ahyat, golongan pekerja itu memilih untuk menyewa kediaman sebelum memiliki hartanah sendiri berikutan beberapa faktor seperti jarak ke tempat kerja atau jenis kediaman idaman.
Dalam perkembangan lain, pakar hartanah itu memaklumkan, ramai penjawat awam yang menerima penyelarasan gaji tersebut membeli kediaman, sekali gus menjadikan jualan rumah pada Disember tahun lepas meningkat.
“Saya bertanya dengan ejen hartanah, mereka mengatakan jualan rumah pada Disember 2024 melonjak disebabkan ramai penjawat awam berkemampuan untuk membeli rumah berikutan kenaikan gaji,” katanya.