
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan langkah terbaik dalam membangunkan kembali Gaza selepas menjadi debu akibat kekejaman Israel.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd Haikal Luqman Zulkefli berkata, usaha yang ingin dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah baik dan sepatutnya disambut semua penggerak isu Palestin di Malaysia.
Katanya, ini termasuk komitmen Malaysia untuk membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin.
“Sinergi antara kerajaan dan NGO sangat diperlukan untuk membangunkan kembali Gaza yang telah hancur dalam perang yang berlangsung selama hampir 15 bulan dan penjajahan sejak 1948.
“Keperluan utama ketika ini adalah penempatan sebagai tempat perlindungan, kesihatan dan makanan. Ini mungkin boleh menjadi cadangan utama kepada projek yang mahu dibuat di Gaza.
“Kesepaduan usaha ini akan menjadi tindakan kita lebih berimpak dan mampan dan memastikan Palestin bebas daripada cengkaman penjajahan Israel,” katanya ketika dihubungi Ceritera di sini hari ini.
Terdahulu Anwar memaklumkan, Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, NGO, swasta, perniagaan, korporat dan rakyat.
Muhd Haikal berkata, CGM telah mula bekerjasama bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) menjalankan dua projek pasca perang iaitu Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza dan Malaysia Tower.
“Sasaran penerima manfaat bagi projek ini adalah seramai 10,000 orang dan ia adalah ‘pilot’ projek sebelum kita kembangkan lagi di kawasan-kawasan terpilih di Gaza.
“Bandar Wakaf ini merangkumi hospital, sekolah, pangsapuri, masjid dan kedai serbaneka yang akan membantu dari sudut pembangunan sosioekonomi rakyat Gaza,” katanya.
Tambahnya, Malaysia Tower pula adalah projek pembangunan ekonomi yang akan menjadi hub digital serta memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Gaza yang kehilangan pekerjaan sejak perang meletus.
“Projek ini juga dijangka dapat mengurangkan kadar pengangguran sebanyak 20 peratus yang mana rakyat Gaza yang berkemahiran dalam media digital akan diberikan peluang oleh syarikat-syarikat digital di Malaysia. Mereka akan bekerja jarak jauh dari Gaza,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengenai langkah kerajaan untuk membantu rakyat Palestin di Gaza, Muhd Haikal berkata, ia tidak sepatutnya menjadi satu isu yang perlu diperbesarkan.
“Palestin ini sangat dekat dengan hati umat Islam di Malaysia dan komitmen kerajaan ini tidak sepatutnya menjadi satu isu yang perlu diperbesarkan. Yang penting, kita mahu menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju kemanusiaan dan ini sesuai dengan apa yang dihajatkan oleh PMX di bawah dasar Malaysia Madani,” katanya.