TELUK INTAN : Angka kematian membabitkan kemalangan sebuah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah lori pasir di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap, Perak meningkat kepada sembilan orang, sehingga pukul 4.30 petang hari ini.
Lapan daripada mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara seorang lagi di Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, lapan anggota FRU yang cedera dalam nahas tersebut telah dikenal pasti identiti dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dengan dua anggota dirawat di zon merah manakala tujuh yang lain di zon kuning.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di X, meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh berhubung nahas jalan raya berkenaan.
Beliau juga meminta pihak berkuasa menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.
Semenatra itu, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata trak FRU dari Unit 5 yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
“Ketika tiba di tempat kejadian, trak FRU Unit 5 itu dirempuh dari hadapan oleh lori membawa muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, pemandu lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas lelaki berusia 45 tahun itu dan mendapati negatif dadah.
“Tujuh ujian telah dijalankan ke atas semua jenis dadah dan keputusannya didapati negatif. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
