KUALA LUMPUR: Menteri Luar Australia, Penny Wong menzahirkan penghargaan terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peranannya menjadi perantara bagi menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Wong menerusi hantaran di laman X berkata, pihaknya turut mengalu-alukan persetujuan Kemboja dan Thailand terhadap gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.
“Kami menggesa kedua-dua pihak agar mematuhinya dan berusaha ke arah penyelesaian yang berkekalan serta aman.
“Australia menghargai kepimpinan Perdana Menteri, Anwar dan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta peranan yang dimainkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump,” katanya.
Semalam, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.
