
Alor Setar: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan mewujudkan satu Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang berkata, ia merupakan satu sistem digital terpusat yang mengintegrasikan input daripada semua peringkat persekutuan, negeri, institusi dan swasta.
“Cadangan ini bukan hanya bersifat teknikal tetapi strategik kerana ia bakal memastikan pemeliharaan warisan negara lebih tersusun dan selamat.
“Ia juga membolehkan inventori koleksi diselaraskan dan dikemas kini secara berkala.
“Selain itu, sistem berkenaan dapat menyokong usaha pendigitalan warisan,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Penutup Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk On Jabbar@Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (KPN), Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Kamarul Baharin A.Kasim.
Beliau menambah, KPN bersedia memimpin langkah itu bersama JMM dengan disokong oleh jaringan rakan strategik dari muzium negeri dan kerajaan tempatan hingga institusi pengajian tinggi serta pemain industri swasta.
Katanya lagi, dengan sinergi yang kukuh, bukan sahaja dapat memelihara warisan tetapi membina jambatan penyatuan, menyemai kefahaman dan memperkukuh akar sebuah negara bangsa.

“Pada masa ini, negara memiliki lebih 232 buah muzium di seluruh negara merangkumi 22 muzium di bawah JMM manakala sebanyak 63 muzium agensi atau institusi.
“Sebanyak 103 muzium pula melibatkan muzium negeri dan wilayah serta 44 muzium swasta,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, rekod koleksi artifak kini diurus dan disimpan secara berasingan menyebabkan Kerajaan tiada gambaran menyeluruh tentang jumlah sebenar artifak dan khazanah warisan negara yang berada dalam simpanan muzium-muzium di
Malaysia.
Katanya, tanpa mengira sempadan dan pentadbiran, semua pihak perlu bersatu dalam satu misi memelihara identiti sejarah negara serta menghidupkan semula memori kolektif bangsa sekali gus memastikan khazanah silam terus menyinari jalan masa depan.

Majlis turut mempertontonkan tayangan montaj sepanjang festival, persembahan khas, dan penyampaian hadiah bagi pertandingan sukan, piala pusingan serta reruai pameran terbaik.
Anugerah Khas Permuziuman juga disampaikan kepada institusi dan individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang permuziuman.
Penyerahan rasmi bendera Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan kepada Yayasan Warisan Johor sebagai simbolik tuan rumah bagi penganjuran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada tahun hadapan.
FHMAPK 2025 telah berlangsung di Muzium Padi di sini bermula 23 sehingga 29 Julai membawa tema utama The Future of Museums in Rapidly Changing Communities.





