
KAJANG: Remaja lelaki yang menumbuk gurunya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, baru-baru ini.
Tertuduh yang berusia 14 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan, pelajar peralihan Tingkatan 1 itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah, di sini, jam 4.48 petang, Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin manakala tertuduh diwakili peguam, S Priyalatha.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 September bagi laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Sebelumnya, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan adalah serius dan tular di media sosial.
Bagaimanapun, peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh adalah pesalah juvana yang masih bersekolah.





