
KUALA LUMPUR: Projek perumahan mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak disambung semula hari ini dengan suntikan dana baharu RM125 juta, selepas lebih lima tahun terbengkalai.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek yang dimulakan pada 2018 itu antara projek terbengkalai terbesar yang gagal disiapkan mengikut jadual asal pada tahun 2022, ekoran pelbagai masalah sehingga menyebabkan 2,400 pembeli terkesan.
“Dengan adanya suntikan modal RM125 juta ini, kerja-kerja pembinaan akan bermula hari ini dan diteruska kontraktor utama baharu,” katanya pada sidang media khas sempena lawatan kerja ke tapak tersebut di sini, semalam.
Kor Ming turut mengingatkan pemaju perumahan yang diberi tanggungjawab menyiapkan Projek Residensi Hektar Gombak menyerahkan kunci kepada pembeli pada 2027.
Katanya, pihak pemaju berisiko disenaraihitamkan sekiranya gagal menyerahkan kunci berkenaan.
“Ini peluang terakhir kepada pemaju perumahan. Sekiranya pemaju gagal lagi untuk serah kunci pada 2027, saya akan menggunakan kuasa menteri untuk menyenaraihitamkan pemaju termasuk ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.
“Tiada lagi peluang kedua. Duit sudah ada, tidak ada alasan lagi. Pemaju perlu pastikan mereka serah kunci pada 2027,” tegasnya.
Tambah beliau, KPKT akan terus memainkan peranan aktif dalam menyelia kemajuan projek dan memastikan pemaju mematuhi pelan pemulihan ditetapkan, sekali gus memberikan kelegaan dan keyakinan kepada pembeli terbabit.






