KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah diberikan mandat menerajui Pembentukan Negara Bangsa dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keamanan serta kestabilan negara.
“Kita menyedari bahawa konsep Negara Bangsa mempunyai pelbagai tafsiran di peringkat akademik dan praktikal.
“Bahkan, setiap negara menggunakannya mengikut sejarah dan konteks tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kementerian Perpaduan Negara bersama media di ibu negara hari ini.

Dalam konteks Malaysia, beliau menjelaskan, konsep Negara Bangsa tidak boleh ditafsir secara sempit sebagai “satu kaum, satu budaya”.
Ujarnya, negara bangsa Malaysia terbentuk daripada rakyat yang datang daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa tetapi bersatu di bawah satu identiti nasional yang dikongsi bersama.
“Identiti inilah yang menjadi asas kepada perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian negara.
“Sehubungan itu, KPN sedang melaksanakan sesi libat urus di seluruh negara bagi merangka Pelan Tindakan Pembinaan Negara Bangsa, disusuli penganjuran Persidangan Pembinaan Negara Bangsa pada tahun depan,” ujarnya.
Beliau menambah, Bangsa Malaysia menekankan identiti individu sebagai rakyat Malaysia, merentas etnik dan agama.
Katanya, Negara Bangsa pula menekankan identiti nasional yang kolektif, iaitu rakyat Malaysia bersatu dalam aspirasi, nilai, dan tanggungjawab terhadap negara.
“Dengan kata lain, Bangsa Malaysia adalah asas, Negara Bangsa adalah tujuan. Tanpa asas yang kukuh, tujuan ini tidak mungkin tercapai,” ujarnya.
