
ROMPIN: Sebanyak kompleks sukan di Pahang dinaik taraf bagi memenuhi keperluan atlet dan golongan belia di negeri ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu diambil oleh Kerajaan Madani yang sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif strategik berkaitan belia dan sukan negara.
“Secara keseluruhan terdapat lapan projek di Pahang, antaranya menaik taraf Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota, Kuantan bernilai RM25 juta yang dijangka siap pada Mei tahun depan.
“Selain itu, penaiktarafan Stadium Hoki Indera Mahkota bernilai RM3.5 juta dan penaiktarafan rumput Stadium Darul Makmur Kuantan bernilai RM500,000 sebagaimana ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Kompleks Rakan Muda Rompin (KRM), di sini hari ini.
Mengulas mengenai projek naik taraf KRM Rompin, Adam Adli berkata projek itu menelan belanja RM15.2 juta, meliputi dua komponen iaitu penaiktarafan kompleks sukan tersebut serta projek pembinaan benteng pemecah ombak.
Projek penaiktarafan KRM bermula pada Mac 2022 membabitkan pelbagai aspek antaranya pembinaan sebuah bilik mesyuarat, menaik taraf gelanggang futsal, membaik pulih dewan utama dan menaik taraf kolam skuba.
Komponen kedua membabitkan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang 500 meter yang bermula pada Ogos 2022 dan dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang bertujuan mengelak hakisan pantai berdekatan kompleks tersebut.